Sepatutnya keputusan mahkamah terhadap Najib Razak dijadikan sumber kekuatan pemimpin dan ahli UMNO keseluruhannya dan bukan menyebabkan lun...
Sepatutnya keputusan mahkamah terhadap Najib Razak dijadikan sumber kekuatan pemimpin dan ahli UMNO keseluruhannya dan bukan menyebabkan lunturnya semangat juang dan wujudnya pelbagai emosi negatif yang boleh merosakkan kekuatan parti.
Ahli Majlis Tertinggi, Puad Zarkashi tiba-tiba seperti manusia hilang akal dan ‘koyak’ dengan apa yang telah terjadi kepada Najib Razak.
Bagaimana pandangan rakyat terutamanya ahli UMNO apabila pemimpin yang berada di saf utama perjuangan tidak yakin dengan perancangan yang dibuat oleh mereka sendiri sebagai Ahli Kerja Majlis Tertinggi UMNO termasuk ‘Top 5’ dan juga seluruh pengurusi perhubungan negeri?
Apakah Puad lupa apa makna dan strategi melalui penonjolan di ‘Poster Boy’ sebagai mewakili parti? Imej parti juga datangnya daripada personaliti siapakah ‘Poster Boy’ yang Barisan Nasional ingin ketengahkan sebagai pemimpin utama BN seterus sebagai satu-satunya calon Perdana Menteri.
Jika elok imej ‘Poster Boy’ maka itulah cerminan kepada parti yang beliau wakili. Rakyat ingin tahu siapa calon Perdana Menteri Malaysia sekiranya BN memenangi pilihanraya umum ke 15 kerana era dunia di hujung jari, rakyat boleh menilai dan membuat keputusan dengan cepat parti apakah pilihan yang mereka boleh bergantung harap melalui calon ‘Poster Boy’.
UMNO BN perlu yakinkan rakyat bahawa calon yang dicadangkan sebagai Perdana Menteri adalah lebih baik daripada calon dari parti lawan.
Pemahaman Puad terlalu cetek mengenai ‘benda tidak bernyawa’ kononnya kebal daripada fitnah kalau dibanding dengan manusia.
Lupakah Puad, sebagai seorang Islam yang waras Allah swt hantar manusia yang hidup bernyawa sebagai Nabi dan bukannya batu atau kayu sebagai wakilnya. Kalaulah batu dan kayu adalah simbol terbaik sebagai ikutan dan penerimaan manusia kepada sebuah kepercayaan, Allah tidak melantik manusia untuk dijadikan contoh kepada manusia yang lain.
Janganlah kerana terlalu ikut perasaan maka perjalanan UMNO BN hendak dirosakkan.
Pemimpin datang dan pergi dengan apa sebab sekali pun tetapi parti UMNO kekal meneruskan wadahnya untuk membantu rakyat dan membina negara.
No comments