UMNO BN sudah memutuskan hanya seorang sahaja calon Perdana Menteri sekiranya menang pilihanraya umum ke 15 kelak. Beliau adalah Dato Seri I...
UMNO BN sudah memutuskan hanya seorang sahaja calon Perdana Menteri sekiranya menang pilihanraya umum ke 15 kelak. Beliau adalah Dato Seri Ismail Sabri yang sekarang ini menjadi Perdana Menteri kepada Kerajaan Keluarga Malaysia.
UMNO BN perlu sedar, tiada jalan mudah untuk menang di pilihanraya umum akan datang kecuali meraih kembali keyakinan rakyat untuk diberikan mandat kembali memerintah negara.
Malah bukan satu perkara yang senang kerana UMNO BN sentiasa ada musuh dalaman, musuh dalam selimut selain daripada musuh politik yang tidak pernah jemu menyerang dengan memburukkan UMNO BN apa lagi pada PRU15, sekali lagi Perdana Menteri adalah dari UMNO.
Pada PRU14, Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan beliau menjadi sasaran utama dari luar dan juga dalam. Cukup hebat fitnah dan propaganda yang disebarkan oleh musuh-musuh tersebut.
Isu 1MDB dijadikan modal utama dan turut berjaya bukan sahaja mempengaruhi rakyat , pengundi atas pagar malah isu tersebut turut berlegar menjadi isu perdebatan dalaman parti walaupun telah diperjelaskan sepenuhnya oleh kepimpinan parti.
UMNO BN sepatutnya sedar dan bangkit dari kesilapan melalui apa yang berlaku dan pengalaman buruk keputusan PRU14 tersebut. UMNO BN tidak boleh lagi dengan mudah mempercayai individu dan kumpulan yang mengaku ‘orang parti’ tetapi pada waktu yang sama hampir setiap waktu kerja mereka memburukkan kepimpinan UMNO BN terutama YAB Perdana Menteri kononnya dengan maksud ‘menegur’. Ahli UMNO BN tidak perlu terpengaruh dengan alasan bodoh yang diberikan.
UMNO BN adalah parti yang begitu tersusun struktur kepimpinannya sehingga kepada akar umbi dan jelas mempunyai saluran tertentu untuk memberi pandangan atau menegur kerana UMNO BN selama ini sememangnya meraikan proses perbezaan pendapat. Proses tersebut bukanlah tiket untuk individu atau kumpulan tertentu untuk membuat dan menyebarkan fitnah sesuka hati.
Penggunakan platform media sosial sepatutnya untuk menyerang musuh politik UMNO BN dan bukannya sebagai alat menyebarkan kerja jahat merosakkan imej kepimpinan utama UMNO BN sehingga boleh merosakkan peluang UMNO BN untuk menang.
Kekalahan UMNO BN pada PRU14 antaranya berpunca dari pengaruh media sosial. Malang bagi UMNO BN kerana ‘terjerat’ juga dengan pelbagai propanda yang direka oleh pihak lawan sehinggakan musuh dalam selimut turut menjadikannya bahan perdebatan secara terbuka di medium tanpa sempadan itu.
Kini sekali lagi UMNO BN bakal diuji dan terserah kepada ahli UMNO samada pengajaran yang lalu boleh dijadikan sempadan atau semakin diperbodohkan oleh kelompok dalaman sendiri yang mempunyai agenda berkepentingan peribadi melebihi kemenangan UMNO BN itu sendiri.
Walaupun jelas perbuatan menyerang sesama sendiri umpama membuka aib dan pekong sendiri termasuk isu samada pemilihan parti atau pilihanraya umum, yang mana satu wajar didahulukan? Namun apa yang jelas, UMNO BN sudah bersedia untuk PRU15 dan ianya adalah satu isyarat kerana kuasa prerogatif untuk menasihati Yang di Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen berada di tangan Perdana Menteri dari UMNO BN.
Ahli UMNO perlu berwaspada kerana watak Si Kitol yang menjadi duri dalam daging tidak akan dengan mudah berdiam diri. Tugas mereka hanya tertumpu kepada memecahbelahkan UMNO BN sehingga ke peringkat akar umbi dan natijahnya, ahli UMNO sendiri belot dan tidak mengundi calon dari Barisan Nasional.
Apa yang ahli UMNO perlu buat dengan segera?
Perlu kenal siapakah sebenarnya Si Kitol dan kumpulan musang berbulu ayam di dalam UMNO. Mudah sahaja kerana mereka mengaku ahli parti tetapi saban hari melalak di media sosial termasuk di saluran langsung seperti YouTube dengan menyerang dan memburukkan kepimpinan UMNO BN termasuk memberi fokus utama memfitnah Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri yang juga ‘Poster Boy’ BN bagi PRU15.
UMNO BN perlu mengambil langkah drastik termasuk melaporkan kepada pihak SKMM dan memastikan tindakan itu diambil respon segera oleh pihak berkenaan terhadap pemilik akaun media sosial tersebut.
Jangan memberi peluang mereka muncul ‘mewakili UMNO’ di mana-mana platform media sosial termasuk forum, wawancara berita portal internet termasuk jemputan di pentas ceramah politik. Imej Si Kitol ini hanyalah macai upahan politik yang membawa reputasi yang terlalu negatif kepada UMNO.
Si Kitol dan kumpulan macai ini tidak akan hidup apabila UMNO BN ‘aman’ tanpa isu. Tetapi sekiranya sesuatu isu itu mendapat sambutan hangat maka semakin banyak mereka mendapat laba. Gerakan pengkhianat parti akan lumpuh sepenuhnya apabila kesemua peringkat parti dapat sepakat dan memberi tumpuan hanya kepada kemenangan parti di PRU kelak.
Ahli UMNO perlu ingat, gerakan pencacai politik ini amat merbahaya. Mereka dipercayai didalangi oleh individu atau kumpulan tertentu yang mempunyai dana yang banyak jumlahnya. Itulah sebabnya kumpulan pencacai ini sedikit pun tidak gentar dengan tindakan undang-undang termasuk saman terhadap fitnah jahat mereka. Walaupun terbukti tuduhan liar mereka itu satu pembohongan, pencacai upahan politik ini tidak sesekali akan memohon maaf. Bagi mereka, memuaskan hati ‘Tuan’ yang membiayai kerja jahat mereka lebih mulia.
Pencacai upahan juga tidak mempedulikan untung nasib UMNO BN. Mereka tahu berdosa besar memfitnah, bagi orang Islam, memfitnah itu lebih besar dosanya dari membunuh tetapi hati mereka dikaburi dengan upahan wang ringgit dan jawatan maka dosa dan pahala tidak akan mengubah ‘perjuangan’ berbayar mereka.
‘Membunuh karektor’ menjadi misi utama pencacai berbayar ini selain berusaha membentuk puak-puak di dalam UMNO BN kerana apabila wujudnya perpecahan maka dengan mudah UMNO BN akan dapat dikalahkan.
Kini PM Ismail Sabri sedang berusaha memperbaiki kerosakan yang ditinggalkan oleh kerajaan PH yang memerintah selama 22 bulan. Ahli UMNO perlu sedar dan memberi segala usaha agar rakyat kembali memberi kepercayaan kepada UMNO BN. Sebagai ahli parti yang setia dan inginkan UMNO BN menang bergaya di PRU15, ahli UMNO BN perlu memastikan imej yang dibawa oleh ‘Poster Boy’ Dato Seri Ismail Sabri tidak mudah dirosakkan oleh pencacai pemakan dedak.
Jangan diberi muka kepada propaganda jahat kumpulan ‘pemakan daging manusia’ ini kerana Nabi saw sendiri melabelkan manusia yang memfitnah dan menyebarkannya umpama memakan daging saudaranya sendiri.
Cukup-cukuplah melayan kerenah Si Kitol yang hidup mereka melacurkan diri demi survival periuk nasi mereka sahaja.
No comments