Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang dikaitkan dengan skandal 1 Malaysian Development Berhad (1MDB) didakwa dikesan berada di Dis...
Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang dikaitkan dengan skandal 1 Malaysian Development Berhad (1MDB) didakwa dikesan berada di Disneyland Shanghai, China pada tahun 2019.
Lebih dikenali sebagai Jho Low, dakwaan itu tercetus selepas imej seorang lelaki miripnya dilihat duduk bersama dua individu yang dipercayai di sebuah restoran.
Imej tersebut dikongsikan ketika perbualan dalam talian oleh wartawan penyiasat dan pengasas bersama Projek Brazen, Tom Wright dalam usahanya mengesan Jho Low di sekitar Asia.
Wright turut berkongsi imej terbabit di akaun Twitter miliknya sambil mendakwa Jho Low sedang menikmati perjalanan ke Disneyland Shanghai bersama rakan-rakan.
“Buktinya ‘semakin banyak’,” tambahnya.
Beliau adalah seorang penulis buku terkenal Billion Dollar Whale yang mendedahkan skandal hubung kait ahli perniagaan tersebut dengan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Minggu lalu, wartawan tersebut meminta bantuan orang awam untuk mengesan kedudukan Jho Low yang didakwa sebagai dalang skandal itu, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap Najib dalam kes rasuah berkenaan.
“Najib mungkin sudah dipenjarakan, namun pegawai bank Goldman (Sach) belum. Dan Jho Low masih di luar sana.
“Jadi, marilah mencari Jho Low,” ciapnya.
Najib yang dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009 hingga 2018 didapati bersalah terhadap semua tujuh pertuduhan rasuah dalam kes berkaitan anak syarikat 1MDB, iaitu SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi.
Beliau dibawa ke Penjara Kajang pada hari sama untuk menjalani hukuman. - The Vibes, 31 Ogos 2022.
Sumber
No comments