Pemimpin dan juga ahli UMNO di setiap peringkat sewajarnya memberi tumpuan dan usaha ke arah gerak kerja memenangkan parti pada pilihanraya ...
Pemimpin dan juga ahli UMNO di setiap peringkat sewajarnya memberi tumpuan dan usaha ke arah gerak kerja memenangkan parti pada pilihanraya umum ke 15 yang bakal berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Kurangkan perbezaan pendapat dan tidak menjadikan permasalahan kecil sebagai isu yang boleh menghalang kepada penyatuan parti. Sebaliknya menggunakan apa juga peluang yang ada demi menarik kembali keyakinan rakyat kepada parti.
Sebarang spekulasi negatif boleh menjejaskan peluang UMNO BN untuk menang di pilihanraya umum tersebut. Pihak musuh, termasuk dari dalam akan berusaha untuk memecah-belahkan parti dengan menggunakan isu-isu tertentu termasuk melaga-lagakan kepimpinan utama UMNO. Ini memberi kesan yang tidak sihat bagi seluruh peringkat jentera parti.
Kepimpinan utama juga sepatutnya berhati-hati di dalam mengulas sesuatu isu agar tidak disalah ertikan. Sebagai contoh isu ‘perjanjian’ antara PM Ismail Sabri dan Muhyiddin Yassin ketika peralihan jawatan Perdana Menteri. Apabila Presiden UMNO, Zahid Hamidi membuat kenyataan bahawa beliau memahami situasi ketika itu dan kesemua isi kandungan perjanjian tersebut dibuat bagi membolehkan sokongan supaya Dato Seri Ismail Sabri boleh membentuk kerajaan sesuai dengan titah perkenan Yang di Pertuan Agong. Maka keseluruhan kepimpinan dan ahli UMNO tidak perlu lagi bertelagah sesama sendiri berkaitan dengan ‘perjanjian’ itu.
Ada butiran yang dibuat merupakan kuasa prerogatif perdana menteri untuk melaksanakannya dan ada klausa yang hanya bersifat cadangan kerana ianya kuasa mutlak YDPA seperti jawatan Timbalan Perdana Menteri. Jawatan ini tiada di dalam perlembagaan tetapi boleh dilantik sekiranya mendapat perkenan YDPA.
Kepimpinan dan ahli UMNO perlu memahami bahawa bukan mudah untuk wakil UMNO dipilih dan disokong oleh majoriti ahli parlimen dari pelbagai parti untuk menjadi Perdana Menteri.
Ismail Sabri melakar sejarah menjadi satu-satunya calon yang mendapat sokongan majoriti ahli parlimen ketika itu untuk namanya dipersembahkan kepada Yang di Pertuan Agong dan mendapat perkenan baginda sebagai Perdana Menteri ke 9.
UMNO BN seharusnya menjadikan kedudukan Ismail Sabri sebagai satu kelebihan dan bukannya subjek polemik kepentingan politik peribadi.
Cemburu dan hasad dengki bakal merugikan UMNO pada PRU ke 15 kelak.
No comments