Salah satu punca kenapa rakyat menolak UMNO BN ketika pilihanraya umum ke 14 adalah kerana wujudnya penguasaan ‘warlord’ yang masih menebal....
Salah satu punca kenapa rakyat menolak UMNO BN ketika pilihanraya umum ke 14 adalah kerana wujudnya penguasaan ‘warlord’ yang masih menebal. Amalan penguasaan politik ini bukan menguatkan parti malah akan melemahkan parti kerana titik fokus perjuangannya adalah untuk individu atau kumpulan tertentu sahaja.
Fokus bagaimana untuk menjaga kebajikan rakyat dan kemakmuran negara bukan lagi menjadi wadah perjuangan. Di sinilah puncanya rakyat akan menolak mana-mana parti yang dikuasai oleh kelompok tertentu walaupun kerana kelemahan merekalah yang menyebabkan parti kalah di dalam pilihanraya.
UMNO BN sepatutnya cepat belajar daripada pengalaman buruk akibat kekalahan yang memalukan pada pilihanraya umum ke 14. Bukan mudah untuk UMNO BN bangkit kembali. Setelah UMNO BN diberi peluang untuk menjadi Perdana Menteri melalui YAB Dato Seri Ismail Sabri bagi menggantikan Muhyiddin yang gagal, barulah mula nampak rakyat mula menaruh kepercayaan terhadap UMNO BN kembali.
Keputusan pilihanraya negeri Melaka dan Johor adalah bukti bagaimana penerimaan kembali rakyat terhadap UMNO BN. Undi dari rakyat adalah respon kepada keinginan rakyat supaya negara ini dipimpin oleh pemimpin yang tidak menyeleweng dan jauh sekali mengamalkan rasuah.
Isyarat dari kedua pilihanraya negeri tersebut adalah jelas. Rakyat inginkan perubahan total dari UMNO BN. Perubahan kepimpinan dan bukannya pemimpin ‘recycle’. Rakyat menghukum parti pimpinan Mahathir walaupun Mahathir pernah berjasa selama 22 tahun dan sekali lagi menjadi Perdana Menteri selama 22 bulan. Akhirnya parti Mahathir kalah teruk di pilihanraya negeri Johor. Kesemua 42 kerusi yang ditandinginya hilang wang pertaruhan.
Muhyiddin juga menerima nasib yang sama. Walaupun beliau dari Johor, namun rakyat di sana membuat keputusan menolak parti pimpinannya. Selama 22 bulan menjadi Perdana Menteri dan gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri di dalam menguruskan negara ketika pandemik covid19, partinya turut kalah teruk ketika pilihanraya negeri tersebut.
‘Comeback’ yang cuba dibuat oleh Mahathir dan Muhyiddin ternyata ditolak oleh rakyat kerana rakyat inginkan pemimpin yang segar dan tidak mempunyai beban galas seperti rasuah dan sebagainya.
Rakyat masih fobia dengan isu rasuah yang menebal di kalangan pemimpin utama negara. Rakyat begitu sensitif dengan halatuju negara yang malap sekiranya dipimpin oleh pemimpin yang korup. Contoh-contoh dari negara jiran dan negara lain turut memberi impak kepada perasaan rakyat yang masih kuat trauma bagaimana kucar-kacirnya nasib yang bakal menimpa mereka sekiranya tersalah memilih pemimpin.
Adakah UMNO BN mula kembali kepada ‘perangai lama’? Bila sudah kembali mempunyai kuasa maka watak ‘warlord’ mula muncul dan bukannya mempelajari dari kekalahan yang memalukan di pilihanraya umum ke 14?
Perlukah mendengar suara-suara sumbang dan jelek yang mendesak agar parlimen dibubarkan mengikut selera dari machai yang dibayar oleh warlord? Adakah keputusan dari Mesyuarat Agung Luarbiasa UMNO baru-baru ini sudah tidak laku?
Selagi amalan politik naungan atau kewujudan warlord yang cuba mempengaruhi perjalanan parti masih berlaku maka UMNO BN perlu bersedia untuk menjadi pembangkang sekali lagi dan kali ini bukan lagi hanya 22 bulan tetapi lebih dari sepenggal atau jangkamasa yang lebih lama. Lihat sahaja di Kelantan, sudah 32 tahun menjadi pembangkang, kenapa sukar untuk rakyat Kelantan berubah kepada UMNO? Anda boleh lihat sendiri siapa dan apa yang menguasai politik UMNO di sana.
Ismail Sabri telah menunjukkan prestasi sebagai Perdana Menteri yang cemerlang. Walaupun tidak sampai pun satu tahun, Ismail Sabri telah berjaya membawa negara dan rakyat keluar daripada ancaman covid19. Dari pandemik kepada fasa endemik adalah sebuah peralihan yang dibuat dengan berhati-hati agar impaknya juga akan membawa negara keluar dengan segera dari permasalahan ekonomi kesan daripada pandemik yang membunuh itu.
Sebaik sahaja negara memasuki fasa endemik, PM Ismail Sabri terus melangkah ke luar negara membawa misi untuk meyakinkan pelabur luar bahawa Malaysia adalah destinasi yang tepat dan betul untuk mereka menanam modal.
Malah rakyat sudah mula nampak begitu yakin dengan PM Ismail Sabri, rakyat melihat beliau mampu mengatasi cabaran dengan melihat bukti keberanian beliau dalam membuat keputusan yang tidak pernah dibuat oleh Perdana Menteri sebelum ini.
Keputusan meluluskan pengeluaran ‘one-off’ KWSP, tol percuma ketika hari raya Aidil Fitri, menghapuskan AP impot ayam dan beberapa keperluan rakyat yang lain serta mengarahkan agar menhentikan ekspot ayam ke luar negara membuktikan PM Ismail Sabri bukan pemimpin yang tunduk kepada kartel yang cuba merosakkan ekonomi negara dan mengawal kepimpinan negara. Inilah bukti betapa PM Ismail Sabri meletakkan keutamaan rakyat mengatasi kepentingan politik peribadinya. PM Ismail Sabri bukannya jenis pemimpin yang suka mengejar glamor. Keputusan yang tidak populis juga perlu dibuat demi survival rakyat.
Adakah UMNO BN ingin terus mendengar jerit pekik machai politik yang dibayar atau ingin menjadikan UMNO BN sebuah parti yang memayungi rakyat sebagai sebuah keluarga? Keluarga Malaysia!
No comments