Orang UMNO dilihat terlalu ghairah mendesak supaya Perdana Menteri YAB Dato Seri Ismail Sabri membubarkan parlimen berbanding dengan pihak p...
Orang UMNO dilihat terlalu ghairah mendesak supaya Perdana Menteri YAB Dato Seri Ismail Sabri membubarkan parlimen berbanding dengan pihak parti pembangkang sendiri.
Pelbagai sebab diberikan kenapa perlu bubar tanpa rasa malu seolah apa yang dimuktamadkan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan diputuskan bersama ketika Perhimpunan Agung UMNO serta Perhimpunan Agung UMNO Khas baru-baru ini tidak membawa apa-apa makna.
‘Lebih sudu dari kuah’, itulah hakikatnya sekarang. Isu bubar parlimen dijadikan topik penting mengatasi bagaimana UMNO BN boleh membantu Perdana Menteri untuk menolong rakyat dan negara yang terlalu baharu melepasi kesan daripada pandemik covid19.
Rantaian dari kesan tersebut, ada yang hilang pekerjaan, ada yang terpaksa menggulung tikar punca rezeki dan negara terpaksa menghadapi kenaikan angka inflasi, nilai matawang yang belum mengukuh dan ekonomi domestik baru sahaja menampakkan petunjuk positif.
Di dalam waktu yang sama PM Ismail Sabri harus memberi tumpuan kepada pelabur dari luar agar terus mengekalkan pelaburan mereka di negara ini di samping meyakinkan mereka untuk menambahkan pelaburan sediaada. Ini semua PM Ismail Sabri lakukan demi untuk melihat rakyat dan negara terus menikmati kemakmuran. Ada negara yang terus tidak berdaya untuk bangkit akibat dari pandemik yang membunuh ini.
Apakah ada kumpulan yang begitu terdesak kerana agenda kepentingan peribadi mereka masih terhalang sehingga merangka perancangan untuk mensabotaj Perdana Menteri dari parti sendiri.
Kekalahan ketika pilihanraya umum ke 14 yang amat memalukan nampaknya sudah tidak dijadikan pengajaran penting bagi UMNO BN. Kebangkitan semula UMNO BN adalah kerana UMNO BN diberi peluang yang amat bermakna apabila kerusi Perdana Menteri diberikan kepada UMNO BN setelah wakil PPBM gagal menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri.
Peluang keemasan yang ada seperti tidak dipedulikan demi memenuhi kegilaan nafsu serakah kuasa yang tidak pernah padam.
Kumpulan bernafsu besar ini cuba menidakkan kejayaan PM Ismail Sabri menguruskan kerajaan yang di dalamnya terdiri daripada pelbagai wakil parti yang sehingga kini adalah ‘musuh politik’. PM Ismail Sabri meletakkan kestabilan negara sebagai perkara utama yang perlu dilaksanakan dan bukannya kepentingan politik peribadinya. Rakyat dan negara adalah fokus utama baginya.
Telah terbukti kesepakatan di dalam kerajaan dicapai apabila beberapa sesi undian parlimen mendapat keputusan persetujuan 100% sokongan ahli dewan. Satu pentanda yang amat positif memberi gambaran bahawa kerajaan hari ini bukan setakat inginkan kerajaan campuran yang stabil tetapi lebih jauh daripada itu apabila PM Ismail Sabri berjaya memandu kerajaan ini agar tidak gagal kucar-kacir seperti yang berlaku ketuka Mahathir dan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri selepas PRU14. Rakyat boleh merasai kesan dari kebijakan yang dilaksakan oleh PM Ismail Sabri.
PM Ismail Sabri berjaya membukti tiada campurtangan di dalam sistem kehakiman negara seperti yang dilakukan oleh pemimpin terdahulu. Namun kesemua ini nampaknya cuba dihancurkan oleh golongan yang tidak senang duduk dengan siri kejayaan PM Ismail Sabri.
Bukan lagi musuh luaran yang menyerang secara agresif tetapi musuh dari dalam pula yang dilihat bersungguh dengan tangan-tangan ghaib tidak jemu-jemu menyusun serangan secara terang-terangan.
Kemana mereka ini semua ingin membawa UMNO BN?
No comments