Keputusan UMNO berhubung pembubaran parlimen amat jelas dan ianya telah mencapai konsensus di peringkat Majlis Kerja Tertinggi serta mendapa...
Keputusan UMNO berhubung pembubaran parlimen amat jelas dan ianya telah mencapai konsensus di peringkat Majlis Kerja Tertinggi serta mendapat mandat daripada perwakilan UMNO seluruh negara pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 serta Perhimpunan Agung Khas baru-baru ini.
Keputusannya ialah UMNO memberi mandat kepada ‘Top 5’ untuk membuat keputusan berkenaan tarikh pembubaran parlimen yang mana Perdana Menteri akan persembahkan kepada Yang diPertuan Agong untuk diperkenankan.
Sepatutnya perkara yang penting sekarang bagi UMNO BN adalah memastikan kesiapsiagaan jentera di kesemua peringkat bagi mencapai kemenangan besar pada pilihanraya umum ke 15. Malah YAB Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri sendiri ketika membuat kenyataan di persidangan khas UMNO baru-baru ini menegaskan beliau tidak akan melewatkan tarikh pembubaran parlimen apabila UMNO BN sudah bersedia.
Tiada yang janggal dengan pengumuman Perdana Menteri dan juga keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta perwakilan UMNO dari seluruh negara kerana konsep musyawarah telah lama dipraktikkan oleh parti terbesar umat Melayu ini.
UMNO BN tidak bergerak dan dipandu oleh suara-suara sumbang yang mempunyai kepentingan politik peribadi dan jauh sekali tunduk dengan desakan pencacai yang hidupnya meraih keuntungan dari perbalahan antara pemimpin parti.
Apa agenda pencacai dan sekumpulan pendesak yang dilihat tidak jemu-jemu memutar belitkan keputusan yang telah lama dicapai? Adakah mereka ini ditaja kerana sudah begitu terdesak gilakan kuasa atau sebagai agen pemusnah keharmonian parti dari dalam?
Berilah masa kepada Top 5 membuat keputusan yang maha penting ini. UMNO BN tidak boleh lagi melakukan kesilapan yang sama seperti pilihanraya umum ke 14. Kumpulan pendesak dan pencacai cuba meletakkan kesalahan kepada Perdana Menteri kononnya cuba melengahkan tarikh pembubaran parlimen sedangkan Top 5 masih lagi sedang berbincang kerana ianya bukan sahaja berkait dengan tarikh yang sesuai tetapi juga berkenaan strategi dan sebagainya.
Kenapa kumpulan pendesak dan pencacai cuba mengheret isu tarikh pembubaran parlimen supaya nampak dibuat secara terbuka? Adakah mereka ini Kuda Trojan kepada musuh UMNO? Harus diingat bahawa tarikh pembubaran juga adalah salah satu strategi dan ianya bukan perkara yang perlu diperbincangkan secara umum seperti kehendak kumpulan pendesak dan pencacai.
Kumpulan tersebut cuba memesongkan fakta bahawa tugas Perdana Menteri hanya perlu mencadangkan kepada YDPA dan bagindalah yang akan memperkenan keputusan tersebut.
Kumpulan pendesak dan pencacai lupa, Top 5 sentiasa berjumpa dan berbincang hal parti. Hentikanlah momokan jahat dengan berniat untuk melaga-lagakan kepimpinan UMNO BN.
Timbalan Presiden UMNO, Muhammad Hasan juga telah membuat kenyataan betapa perlunya membuat kajian dan keputusan tepat berhubung tarikh pembubaran itu. Ini bermakna Top 5 di ketika ini sedang menjalankan amanah yang diberikan kepada mereka.
Ahli UMNO di seluruh negara sedang sibuk menyahut seruan Perdana Menteri supaya bersedia, pencacai dan kumpulan pendesak pula sibuk menjalankan tugas dengan mengambil upah memecah belahkan UMNO.
UMNO BN sebuah parti yang matang dan bukannya parti yang dicucuk hidung tunduk kepada kehendak pencacai.
No comments