Hangat diperkatakan berhubung isu dokumen minit mesyuarat sulit yang dikatakan bocor berkait dengan perbincangan bagaimana ingin memenjaraka...
Hangat diperkatakan berhubung isu dokumen minit mesyuarat sulit yang dikatakan bocor berkait dengan perbincangan bagaimana ingin memenjarakan presiden UMNO dan bekas perdana menteri, Najib Razak.
Individu atau kumpulan yang ingin melaga-lagakan pemimpin UMNO BN dilihat terdesak menggunakan kaedah kononnya ada perancangan jahat yang turut melibatkan juga melibatkan institusi kehakiman negara.
Lojiknya, perlukah ada minit yang begitu terperinci dan didokumenkan sebagai mesyuarat rasmi bagi perancangan jenayah?
Secara lojiknya juga, kalaulah wujud campurtangan kerajaan di dalam sesebuah kes yang melibatkan nama-nama besar pemimpin parti politik maka Zahid dan Najib sudah pasti tidak berada di ‘kedudukan sekarang’.
Rakyat sendiri tahu bagaimana bermulanya jalur cerita kes Zahid dan Najib yang kini sudah memasuki fasa membela diri dan rayuan setelah dijatuhkan hukuman(Kes SRC-Najib). Kalau ianya semudah hakim boleh ‘dibeli’ maka sudah lama kes keduanya selesai di zaman Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Apabila Zahid dan Najib sendiri membuat kenyataan bahawa mereka berani berhadapan dengan dakwaan tersebut dan ingin supaya kes mereka diadili dengan saksama maka di sini sudah jelas bahawa kes mereka sedang mendapat perhatian dan penilaian dari sistem perundangan negara yang masih utuh ketelusannya.
Serangan terhadap UMNO BN ini semakin agresif bermula sejak UMNO BN memenangi beberapa siri pilihanraya kecil dan terbaharu memenangi dengan jumlah kerusi yang tidak dijangka di pilihanraya negeri Melaka dan Johor.
Ditambah dengan lonjakan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan YAB Dato Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Muhyiddin yang gagal.
Serangan tertumpu bagaimana untuk memecah belahkan perpaduan antara saf kepimpinan utama UMNO terutama antara Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
Hubungan rapat antara Ismail Sabri dan Zahid wajar dipisahkan dan dirosakkan termasuk hubungan antara penyokong keduanya.
Fokus utama musuh adalah bagaimana untuk merosakkan imej Ismail Sabri termasuk di dalam isu ‘PASLeak’ ini. Musuh politik UMNO menggunakan beberapa nama pemimpin UMNO BN yang dilihat akrab dengan Ismail Sabri yang kononnya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin Pas.
Adalah tidak masuk akal apabila nama-nama pemimpin Pas yang dikaitkan dan bukannya dari kumpulan yang kemaruk gilakan jawatan Perdana Menteri.
Pemimpin UMNO BN wajar melihat dengan lebih jauh ‘permainan’ kumpulan atau individu yang tidak senang hati dengan kedudukan terkini UMNO BN di mata rakyat terutama apabila Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulat suara menamakan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri apabila menang pilihanraya umum ke 15 nanti.
Semakin kuat ukhwah antara kepimpinan dan ahli UMNO BN, semakin kuat dan menggila serangan fitnah. Jangan termakan umpan kerana ianya bakal membunuh diri sendiri.
No comments