Perhimpunan Agung UMNO 2021 bermula hari ini di World Trade Centre. Seperti biasa, ucapan dasar presiden parti menjadi satu tradisi yang ama...
Perhimpunan Agung UMNO 2021 bermula hari ini di World Trade Centre.
Seperti biasa, ucapan dasar presiden parti menjadi satu tradisi yang amat penting. Baik ahli UMNO di seluruh negara, parti lawan malah rakyat juga turut memberi perhatian apakah amanat dan halatuju parti yang disampaikan oleh presiden.
Bukan itu sahaja, pihak media juga memberi tumpuan kerana ucapan tersebut adalah tajuk berita utama dan bakal dikupas bukan sahaja oleh perwakilan dari seluruh negara yang turut hadir tetapi oleh ramai pihak juga.
Penganalisis politik tempatan, parti-parti lawan serta rakyat sehingga ke ceruk kampung akan membicarakan intipati ucapan dasar yang di sampaikan oleh seorang presiden dari parti politik yang terbesar di Malaysia yang menjadikan Melayu dan bumiputra adalah teras perjuangannya serta rakyat secara amnya.
Namun kali ini seperti juga tahun-tahun sebelumnya, ucapan dasar Zahid Hamidi semakin hambar. Tiada titik fokus bagaimana sebuah parti yang diberikan mandat memimpin negara melalui YAB Dato Seri Ismail Sabri sebagai perdana menteri akan terus menjadikan negara ini sentiasa berada di landasan terbaik dan nasib rakyat terbela.
Ruang masa yang diberikan untuk seorang presiden parti membuat ucapan dasar tidak digunakan sebaik mungkin. Tiada pandangan atau cadangan kepada Perdana Menteri untuk menampakkan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang dinamik dan progresif yang mampu menarik keyakinan rakyat kembali menjadikan UMNO BN sebagai payung untuk rakyat bernaung. Zahid seolah-olah mengajar ahli untuk tidak bersyukur di atas kurniaan Allah swt kepada UMNO BN.
Tiada siapa menduga dari sebuah parti yang kalah di pilihanraya umum ke 14, UMNO bangkit dari kekalahan bermula dengan wujudnya kerajaan campuran di mana Ismail Sabri dilantik sebagai menteri kanan pertahanan, timbalan perdana menteri dan akhirnya majoriti ahli parlimen menyokong Ismail sebagai Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin Yassin setelah Muhyiddin gagal menjalankan tugas sebagai perdana menteri.
Zahid sepatutnya menggunakan perhimpunan agung tahunan ini dengan mengajak ahli UMNO memberi sokongan padu kepada Dato Seri Ismail Sabri agar terus cemerlang memimpin negara kerana inilah faktor utama menarik kembali keyakinan rakyat dengan membuat perbandingan antara perdana menteri sebelumnya selepas kalah di PRU ke 14.
Enam bulan, masa yang begitu singkat tetapi Ismail Sabri berjaya meletakkan kembali negara di landasan yang sepatutnya setelah melalui fasa pandemik covid 19. Pelan pemulihan yang dilaksanakan Ismail berjaya membawa rakyat keluar dari kemelut tersebut di dalam jangkamasa yang singkat.
Tidak salah bagi Zahid memuji Najib di atas gerak kerja beliau di pilihanraya negeri Melaka dan Johor tetapi apabila di setiap topik ucapannya, Zahid tidak lekang mengheret nama Najib ini membuktikan Zahid tiada kekuatan diri sendiri sebagai presiden parti. Pujian sepatutnya secara menyeluruh kepada jentera parti yang memberi sepenuh masa dan tenaga, bukannya tertumpu kepada individu tertentu.
Zahid menumpang nama orang lain dan bukannya kekuatan diri sendiri. Nampak jelas beliau seolah takut berhadapan dengan penolakan kumpulan yang setia dengan parti dan muak dengan permainan politik dendam Zahid. Apa yang jelas, Zahid secara terang-terangan menggunakan pentas perhimpunan ini untuk selamatkan diri beliau dan menyerlah ketamakan kuasa gila untuk menjadi perdana menteri walaupun beliau tahu keadaan semasa dirinya amat memberi impak buruk kepada imej UMNO BN.
Apabila menyentuh isu setia kepada kawan dan frasa ‘jangan ada kawan makan kawan, kena hormati kawan..’ seolah tidak kena dengan Zahid itu sendiri. Beliau lebih hormat dan setia kepada Anwar dan bukannya dari kalangan pemimpin-pemimpin UMNO yang setia kepada parti.
Isyarat apa yang Zahid ingin sampaikan kepada kumpulan yang masih taat setia kepada Anwar?
No comments