Usul bagi melanjutkan penguatkuasaan Sosma telah gagal mendapat sokongan mencukupi Dewan Rakyat, apabila hanya 85 ahli parlimen bersetuju be...
Usul bagi melanjutkan penguatkuasaan Sosma telah gagal mendapat sokongan mencukupi Dewan Rakyat, apabila hanya 85 ahli parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju dalam proses undi belah bahagi tersebut. Manakala 50 orang lagi ahli parlimen tidak hadir.
Dari dapatan data tersebut timbul pelbagai persoalan terutama ahli parlimen pro kerajaan, apakah RUU Sosma ini tidak penting sehinggakan sebegitu ramai yang tidak hadir termasuk kepimpinan tertinggi UMNO BN.
Di manakah Presiden UMNO Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan, Menteri Kanan Pertahanan, Hishamuddin Hussein dan beberapa lagi ahli parlimen UMNO?
Malah Najib Razak juga tidak harus memberikan alasan menghadiri mahkamah kerana sebelum ini beliau boleh sahaja memberi alasan untuk berada di parlimen dan menangguhkan perbicaraan kesnya.
Ahli UMNO seluruh negara terkedu, apa sudah jadi? Persidangan tahunan UMNO baru sahaja selesai dan semuanya dilihat begitu komited untuk perkukuhkan hubungan antara satu sama lain, dari kepimpinan utama sehinggalah ke akar umbi. Zahid sendiri dengan lantang melaungkan bahawa beliau dan Mohamad Hasan akan mendokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sepenuhnya. Hal pengurusan parti UMNO biarlah dia dan Mohamad Hasan yang akan menjaganya.
Sekiranya Zahid serius untuk membantu dan menyokong Ismail Sabri menguruskan negara maka sudah pasti semua perkara yang melihatkan parlimen akan dipandang serius. Apa yang berlaku pada undi belah bahagi berhubung RUU Sosma memberi gambaran sebaliknya.
Zahid dan ahli parlimen lain tidak menunjukkan kesungguhan menjaga imej dan reputasi seorang Perdana Menteri yang datangnya dari UMNO itu sendiri.
Perkara memalukan sebegini tidak seharusnya berlaku. Tidak perlu menuding jari menyalahkan pihak pembangkang kerana sememangnya itu ‘tugas’ mereka, menyanggah apa sahaja cadangan dari pihak kerajaan.
Ahli parlimen dari UMNO BN yang tidak hadir tidak menunjukkan komitmen sepatutnya sebagaimana yang dilaungkan di pentas perhimpunan agung UMNO 2021 baru-baru ini.
Agak memalukan juga apabila pihak pembangkang yang terdiri daripada Setiausaha Agung Dap, Presiden PAN Mohd Sabu dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution terus datang berjumpa dengan YAB Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri bagi menerangkan kenapa mereka tidak menyokong isu lanjutan Sosma itu.
Kenapa ahli-ahli parlimen UMNO tidak ramai-ramai datang berjumpa dengan Ismail Sabri bagi menerangkan apa yang berlaku sebenarnya?
Adakah kedudukan perdana menteri yang datangnya dari UMNO BN ini tidak perlu dihormati?
No comments