Sikap suka mencari salah orang lain walaupun diri sendiri yang bersalah adalah sikap yang amat buruk bagi kalangan pemimpin. Menggunakan ala...
Sikap suka mencari salah orang lain walaupun diri sendiri yang bersalah adalah sikap yang amat buruk bagi kalangan pemimpin.
Menggunakan alasan yang tidak munasabah menunjukkan pemimpin tersebut bukanlah seorang yang boleh dipercayai. Sikap ‘tikam belakang’ boleh membawa bencana besar kepada diri sendiri dan organisasi yang dianggotainya.
Itulah yang terjadi kepada ahli parlimen UMNO BN apabila buat pertama kalinya gagal memenangi usul yang kerajaan bawa apatah lagi ianya berkenaan dengan isu keselamatan negara.
Pandangan cetek, pemikiran yang lemah dan sifat ego yang makin menebal membuatkan mereka ini lupa tugas dan tanggungjawab sebagai ahli parlimen blok kerajaan. Paling dikesali apabila yang bertindak memperlekehkan RUU Sosma adalah dari kalangan ahli parlimen yang ‘senior’. Sudah berpenggal menjadi wakil rakyat parlimen UMNO BN sepatutnya mereka ini sudah sedia maklum apa tugas yang wajib mereka jalankan.
RUU Sosma bukan isu politik tetapi lebih dari itu kerana wujudnya kepentingan keselamatan nyawa rakyat di dalam RUU tersebut.
Ahmad Maslan dan Shamsul Nasarah antara ahli parlimen senior UMNO BN yang tidak hadir di hari mengundi belah bagi tersebut. Bukan sahaja mereka orang lama di parlimen tetapi juga berjawatan besar di peringkat parti.
Mereka berdua tidak seharusnya membuat kenyataan yang memalukan diri dan parti. Kenapa perlu salahkan pihak pembangkang yang kononnya mengingkari perjanjian persefahaman bersama membina negara? Isu pendirian peribadi berhubung sesuatu rang undang-undang berbeza dengan memorandum perjanjian persefahaman antara pihak kerajaan dan parti pembangkang. Tiada kaitan langsung di antara keduanya dan Ahmad Maslan serta Shamsul Nasarah cuba mencari alasan untuk melepaskan diri. Rekod kehadiran keduanya terbukti mereka tidak hadir di hari yang penting tersebut.
Ahmad Maslan dan Shamsul Nasarah sepatutnya segera berjumpa dengan Perdana Menteri bagi menerangkan kenapa tidak hadir dan bukannya menyerang pembangkang sebagai alasan untuk selamatkan diri.
Kalau pihak pembangkang boleh terus bertemu YAB Perdana Menteri dan menjelaskan duduk perkara sebenar pandangan mereka berhubung RUU Sosma, kenapa ahli parlimen UMNO BN yang tidak hadir begitu angkuh untuk bertindak seperti pembangkang malah lebih baik daripada itu.
No comments