Apabila Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan beberapa hari lepas, semua mata tertumpu kepada Barisan Nasional. Mata penganalisis politik, ...
Apabila Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan beberapa hari lepas, semua mata tertumpu kepada Barisan Nasional.
Mata penganalisis politik, mata pemerhati politik, mata ahli politik kedai kopi, mata ahli politik dan mata rakyat. Semuanya melihat dari pelbagai sudut.
Apa yang pasti, topik yang hangat adalah siapa yang bakal jadi calon, beranikah parti lakukan pembaharuan dan ayat yang sentiasa bernada pujukan atau mungkin bagi sesetengah orang ianya ayat bersifat retorik walaupun ada yang mengatakan ianya membawa semangat patriotik adalah ayat “berjiwa besar”.
Ayat tersebut biasanya dari pemimpin utama kepada bakal pemimpin kawasan yang tidak lagi tersenarai nama mereka sebagai calon dan yang tidak pernah namanya kunjung tiba sebagai calon.
Begitu juga dengan UMNO dan Barisan Nasional. Sentiasa mencari pembaharuan agar rakyat kembali menerima dan melihat UMNO BN sentiasa relevan.
Di pilihanraya negeri Melaka, UMNO mulakan dengan langkah meletakkan hampir 80% muka baharu dan berjaya menang 2/3 kerusi majoriti dewan undangan negeri.
Kini di Johor sekali lagi menuntut UMNO BN berani lakukan strategi yang lebih berani kerana parti-parti lawan sudah mula melangkah dengan agresif untuk mengejar mandat rakyat. Cuma bagi UMNO, keputusan mahkamah memerintah Presiden UMNO, Dato Seri Zahid Hamidi membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah dan pelbagai lagi sedikit sebanyak bakal merencatkan susunan strategi UMNO BN mengejar kemenangan 2/3 majoriti.
Pembangkang bakal menggunakan isu tersebut sebagai modal di sepanjang siri kempen pilihanraya nanti dan tidak boleh dinafikan sedikit sebanyak bakal memberi kesan kepada jentera UMNO BN itu sendiri.
Doktrinisasi ‘pemimpin bersih’ mula bermain di pemikiran pengundi muda dan pengundi yang pertama kali mengundi. Kalau faktor ini diambil kira maka UMNO BN berada di zon yang tidak selesa.
Anwar Ibrahim sedar akan isu penting ini maka beliau mengambil keputusan awal cuba mengubah persepsi ‘Pakatan Harapan’ yang sudah mula pudar di hati pengundi kepada menggunakan logo parti PKR. Anwar tahu DAP dan Amanah boleh menang mudah dengan mengekalkan kerusi masing-masing maka kedua parti tersebut kekalkan penggunaan logo Pakatan Harapan. Tambahan pula kerusi PKR lebih banyak berbanding kedua gabungan itu.
Adakah UMNO tidak yakin dengan keputusan Biro Politik Majlis Kerja Tertinggi baru-baru ini yang memutuskan bahawa Perdana Menteri YAB Dato Seri Ismail Sabri sebagai ‘Poster Boy’ di PRU ke 15? Kenapa tidak diuji nama baik Perdana Menteri di Johor?
Tambahan pula Biro Politik MKT UMNO juga membuat keputusan Ismail Sabri adalah calon tunggal Perdana Menteri apabila BN menang di pilihanraya umum itu nanti.
Kesemua pengerusi perhubungan negeri juga turut menyokong keputusan biro ini.
Adakah ‘Berjiwa Besar’ hanya kepada bakal calon sahaja?
Johor kali ini berbeza dengan gelanggang di Melaka.
Jangan menyesal selepas kalah.
No comments