Seramai 17 daripada 122 individu yang disahkan dijangkiti varian Omicron setakat 4 Januari lalu, didapati tidak mempunyai rekod vaksinasi. M...
Seramai 17 daripada 122 individu yang disahkan dijangkiti varian Omicron setakat 4 Januari lalu, didapati tidak mempunyai rekod vaksinasi.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika mendedahkan perkara itu berkata pihaknya sedang meneliti alasan di sebalik rekod segelintir pengembara dari luar negara berkenaan yang tidak mempunyai sejarah pengambilan pelalian COVID-19.
Jelasnya, 17 individu atau 14 peratus daripada yang disahkan dijangkiti varian membimbangkan (VOC) itu membabitkan 10 warganegara dan tujuh bukan warganegara.
"Negara import kes Omicron tanpa rekod vaksinasi ini ialah dari United Kingdom membabitkan empat kes, Nigeria (empat), Emiriah Arab Bersatu (empat) dan masing-masing satu kes dari Amerika Syarikat, Australia, Ghana, Ireland serta Arab Saudi.
"Berdasarkan siasatan awal Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap pengembara dari luar negara, kita dapati daripada 122 positif Omicron selepas masuk ke Malaysia, 14 peratus (17 kes) tiada vaksinasi.
"Di sini, wujud isu ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana hanya mereka yang divaksin sepatutnya dibenarkan melakukan perjalanan," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, hari ini.
Mengulas tanggapan segelintir pihak bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) cuba menyegerakan pengambilan dos penggalak kerana bekalan vaksin sedia ada menghampiri tarikh luput, Khairy berkata, dakwaan itu tidak benar.
Sebaliknya, beliau berkata, sebanyak 6.5 juta dos bekalan vaksin yang ada untuk menampung pemberian dos penggalak dan primer tidak merekodkan tarikh luput dalam tempoh terdekat.
"Kalau yang mencetuskan keraguan ialah mengenai langkah memendekkan sela pengambilan dos penggalak dari enam kepada tiga bulan, kita bukan satu-satunya negara berbuat demikian.
"Bagaimanapun, langkah sama diambil negara lain dan ia dibuat bersandarkan fakta sains, justeru tidak timbul persoalan sama ada KKM cuba menyegerakan pengambilan dos penggalak kerana bekalan sedia ada menghampiri tarikh luput," katanya.
Berhubung perkembangan varian baharu dikenali sebagai IHU, Khairy berkata, KKM masih menunggu makluman selanjutnya daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sama ada strain berkenaan bakal dikategorikan sebagai varian berkepentingan (VOI) atau varian membimbangkan (VOC).
"Setakat ini, IHU belum dikategorikan sebagai VOI atau VOC, justeru kita tunggu maklumat lanjut daripada WHO tetapi KKM mengambil maklum berhubung perkembangan penularan varian berkenaan," katanya.
Admin: Kerajaan wajib siasat dan dakwa syarikat yang menguruskan jemaah umrah tersebut. Memalukan.
Sumber
No comments