PAS dijangka meninggalkan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) untuk bersama BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) atas faktor terhutang bud...
PAS dijangka meninggalkan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) untuk bersama BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) atas faktor terhutang budi dan bantuan dana kempen.
Penganalisis politik, Datuk Shamsuddin Nawawi, berkata PAS tidak dapat lari daripada faktor terhutang budi memandangkan mereka menganggotai Kerajaan Pusat kerana bantuan BERSATU dan bukannya UMNO.
Beliau berkata, apabila kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang, bekas Perdana Menteri itu masih mempunyai pengaruh untuk memastikan kuota menteri dan timbalan menteri PAS dikekalkan.
"Saya fikir PAS akan tetap dengan BERSATU kerana terhutang budi. Mereka jadi kerajaan bukannya disebabkan oleh UMNO, tetapi kerana BERSATU.
"PAS ini walaupun konsepnya parti agama, dia sarat dengan tradisi Melayu yang mengenang budi kerana kekuatannya datang dari Pantai Timur dan Kedah. Orang Melayu dari sana sangat menjaga budi," katanya kepada BH, hari ini.
Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, kekuatan PAS tidak boleh dipandang rendah walaupun meninggalkan UMNO untuk bersama BERSATU kerana mereka mempunyai kelebihan melalui pelantikan pemimpinnya dalam Kabinet sebagai menteri dan timbalan menteri.
Katanya, kedua-dua parti itu juga saling melengkapi kerana PAS mempunyai kekuatan jentera pilihan raya, manakala BERSATU pula mempunyai dana yang besar.
Sementara itu, penganalisis politik, Dr Azmi Hassan, pula berkata beliau melihat pimpinan PAS lebih cenderung bersama BERSATU pada PRU-15, namun ahli akar umbinya pula cenderung kepada Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO.
Katanya, perkara itu menyebabkan PAS berbelah bahagi walaupun jika dilihat keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, parti itu sepatutnya tahu kedudukan dan kekuatan mereka.
"Namun mereka tidak mahu dituduh sebagai tidak menghargai apa yang sudah dilakukan BERSATU. Ini menyebabkan PAS serba salah dan mereka seboleh-bolehnya mahu lihat UMNO dan BERSATU duduk bersama-sama.
"Cuma pada masa ini, ia mustahil dicapai kerana UMNO sudah selesa bergerak solo (melalui Barisan Nasional) manakala BERSATU pula berkeras tidak mahu kerjasama dengan UMNO," katanya.
Mengulas lanjut, Azmi secara peribadi berpendapat lebih baik PAS bersama MN pada PRU-15 untuk mendapat laluan lebih mudah berbanding terpaksa bertembung dengan UMNO.
"Untuk pujuk PAS tinggalkan BERSATU dan PN bukan mudah, yang boleh lakukan ialah akar umbi mereka, namun sekarang kita tidak nampak desakan itu kerana mereka patuh (wala') kepada pimpinan.
"Jika ikut percaturan politik semasa, lebih baik PAS bersama UMNO," katanya.
No comments