Armi Irzan ketika berucap membentangkan usul pada persidangan Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Kuala Terengganu. FOTO NSTP/BAHAROM BAKAR. KUA...
Armi Irzan ketika berucap membentangkan usul pada persidangan Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Kuala Terengganu. FOTO NSTP/BAHAROM BAKAR.
KUALA TERENGGANU: Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu menyarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan segera Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum-15 (PRU-15) diadakan.
Ketuanya, Armi Irzan Mohd berkata, ia bagi membolehkan rakyat diberi mandat memilih kerajaan yang kukuh dan tidak mengikut telunjuk pemimpin lain dalam kerajaan urusan pentadbiran negara.
"Kestabilan politik amat diperlukan kerajaan untuk mentadbir negara dan beberapa pimpinan parti turut menyokong PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan mandat rakyat.
"Menyedari rakyat dalam keadaan tertekan berikutan pelbagai tekanan dihadapi termasuk kemelut politik tidak menentu, Pergerakan Pemuda UMNO menggesa Ismail Sabri membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU-15 diadakan segera.
"Pemuda tidak mahu melihat Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera terus dianggap sebagai 'tali pancing' apabila joran dipegang pemimpin politik lain dalam kerajaan terutama membuat keputusan," katanya ketika mengemukakan usul pada persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, hari ini.
Mengulas kenyataan Ismail Sabri, yang menegaskan tidak akan tergesa-gesa mengadakan PRU-15 dengan alasan masih terdapat banyak urusan yang belum selesai, Armi Irzan berkata, kehendak ahli di peringkat akar umbi juga perlu diambil kira.
Dalam perkembangan lain, Armi Irzan yang juga pengerusi Skuad Sabil Kuala Terengganu menambah, Pemuda UMNO mendesak dan menuntut kerajaan PAS negeri menyalurkan wang hasil royalti minyak secara terus dan adil kepada rakyat.
Mengulas mengenai kerjasama UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN), beliau berkata, Pemuda UMNO membuat ketetapan untuk akur dengan keputusan pimpinan tertinggi part dan bersedia bergerak secara solo menghadapi PRU umum akan datang jika kerjasama dua parti berakhir.
No comments