Pengeluaran tambahan KWSP bakal bebankan generasi muda di masa hadapan KWSP ditubuhkan pada 1951 sebagai simpanan hari tua pekerja negara. N...
Pengeluaran tambahan KWSP bakal bebankan generasi muda di masa hadapan
KWSP ditubuhkan pada 1951 sebagai simpanan hari tua pekerja negara.
Namun, buat pertama kali dalam sejarah, Kerajaan Malaysia telah pada tahun 2020 mengadakan program pengeluaran khas i-Lestari bagi membantu ahli KWSP mengatasi kesan Covid-19 ke atas ekonomi.
Keizinan luar biasa ini diberi memandangkan adanya situasi luarbiasa yang berlaku, iaitu pandemik global yang juga melanda Malaysia.
Tetapi setelah beberapa kali pengeluaran diizinkan, dan setelah lebih RM101 bilion disalurkan keluar dari KWSP, cukuplah dibenarkan setakat itu sahaja.
Hari ini, ada beberapa pihak yang lantang melobi untuk dibenarkan sekali lagi pengeluaran simpanan KWSP.
Perlu saya ulangi, idea ini pertama sekali dibuahkan oleh Kerajaan setelah membuat pertimbangan dan perkiraan rapi terlebih dahulu.
Suara-suara yang hari ini sibuk menghasut rakyat tidak terlibat sama sekali dalam perhitungan dan keputusan tersebut.
Mereka mengambil kesempatan mengeksploitasikan perkara ini sebagai modal untuk menyelar pihak KWSP dan Kerajaan.
Caruman wajib pencarum dan majikan adalah asas sistem KWSP yang merupakan satu amanah yang wajib dijaga oleh pihak KWSP dan Kerajaan.
Selama ini, pencarum memang dibenarkan membuat pengeluaran untuk keperluan tertentu seperti pembelian rumah kediaman dan kos perubatan melalui Akaun 2 KWSP.
Tujuan KWSP itu adalah "untuk persediaan hari tua”, bila mana kudrat sudah tiada untuk bekerja. Untuk itu, pengeluaran, terutamanya dari Akaun 1, tidak boleh dibenarkan sewenang-wenangnya.
Dan suatu hari nanti, apabila Malaysia mencapai status negara tua pada tahun 2030 (8 tahun lagi), tanggungjawab kewangan negara yang akan melonjak bukan hanya akan dipikul oleh Kerajaan, tetapi juga pembayar-pembayar cukai di masa hadapan.
Sememangnya adalah tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan masa panjang rakyatsambil memberi penyelesaian kepada cabaran semasa.
Sebab itu juga pentadbiran-pentadbiran sebelum ini begitu tegas menjaga amanah mereka berkenaan KWSP.
Pada tahun 2014 misalnya, beberapa negeri terutama Kelantan dan Pahang teruk dilanda banjir dengan jumlah isi rumah yang terkesan mencecah 300,000, dan ramai yang kehilangan harta termasuk rumah dan kenderaan.
Namun, kerajaan pada tahun 2014 tidak membenarkan pengeluaran KWSP walau satu sen pun kepada mangsa-mangsa banjir yang hilang segala-galanya, sebaliknya menggunakan kaedah-kaedah lain bagi membantu mangsa bencana.
Kini, pendekatan yang sama diambil Kerajaan bagi membantu rakyat menghadapi bencana banjir.
Secara keseluruhan, banyak bantuan yang dihulurkan oleh Kerajaan bagi menolong rakyat termasuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC), Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP); Bantuan Wang Ihsan (BWI - bagi mangsa-mangsa bencana); bantuan kebajikan bulanan; pembiayaan dengan kadar 0 peratus serta moratorium serta-merta selama 6 bulan, dan banyak lagi.
Sehubungan itu, ada beberapa fakta yang perlu kita akui:
a. Isu wang persaraan yang tidak mencukupi wujud sebelum zaman Covid lagi. Hakikatnya, hari ini hampir 50 peratus atau lebih 6 juta pencarum mempunyai baki caruman kurang daripada RM10,000. Pendek kata, pencarum seramai 6 juta ini tidak akan mendapat faedah pun jika dibenarkan pengeluaran tambahan i-Citra.
b. Menurut KWSP, pesara sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya RM240,000 semasa bersara. Jika mereka dijangka bersara selama 20 tahun, mereka hanya ada RM1,000 sebulan untuk sara hidup dan jika sakit, ubat-ubatan.
Cuba bayangkan jika mereka ada kurang daripada RM10,000 sekarang. Dijangka hampir 7 juta ahli akan mempunyai simpanan di bawah RM10,000 jika pengeluaran tambahan i-Citra dibenarkan.
Jika mereka dapat gandakan 10 kali pun sehingga RM100,000 semasa bersara (satu gandaan yang amat sukar untuk dicapai), mereka hanya ada RM500 untuk berbelanja. Lebih tragis lagi bagi hampir 4 juta pencarum yang mempunyai simpanan di bawah RM1,000.
c. Kerajaan sudah benarkan banyak pengeluaran. Dengan i- Lestari, i-Sinar dan i-Citra, rata-rata ahli telah mengeluarkan sebanyak RM21,000 sehingga RM71,000 sejak tahun lepas. Secara keseluruhan, lebih 7 juta pencarum telah mengeluarkan lebih RM101 bilion.
d. Lebih kurang 74 peratus pencarum yang mempunyai kurang dari RM10,000 dalam akaun mereka adalah Bumiputra.
Lebih membimbangkan lagi, 79 peratus dari golongan ini mempunyai simpanan kurang dari RM1,000.
Kalau betul beberapa pihak ingin memperjuangkan nasib Bumiputra, terutamanya orang Melayu, walaupun dah tahu ramai yang sudah tidak mempunyai cukup simpanan, apakah niat dan tujuan sebenar memperjuangkan pengeluaran tambahan?
e. Wakil-wakil kesatuan pekerja pun tidak bersetuju.
Lihat sahaja kenyataaan persatuan-persatuan yang mewakili pekerja seperti NUBE, CUEPACS, NUDIW, UNI-MLC dan MTUC.
Mereka tidak bersetuju kerana mereka faham impak buruknya pengeluaran tambahan kepada kebajikan hari tua pencarum.
Ada juga sebab-sebab lain yang melibatkan pasaran ekuiti, kewangan dan keyakinan pelabur asing dan domestik. Ini rumusannya:
a. KWSP memainkan peranan penting di pasaran saham dan bon tempatan untuk menjana pulangan dividen kepada ahli, dan menyediakan kecairan bagi kedua-dua pasaran tersebut.
Nilai pelaburan KWSP dalam pasaran saham tempatan adalah 16 peratus daripada nilai keseluruhan yang berjumlah lebih RM1.7 trilion.
Nilai pelaburan KWSP dalam bon-bon Kerajaan pula adalah 26 peratus (atau RM247 bilion) dari nilai keseluruhan RM950 bilion.
Manakala bagi bon-bon korporat, KWSP memegang 21 peratus (atau RM166 bilion) daripada nilai keseluruhan RM791 bilion.
b. Sekiranya pengeluaran ini dibenarkan lagi, KWSP akan terpaksa menjual pegangan saham dan bon mereka di luar dan dalam negara secara besar-besaran dalam keadaan pasaran yang tidak menentu; memberhentikan pelaburan di dalam negara untuk tempoh 3 hingga 6 bulan; dan mengurangkan penyertaan dalam pasaran domestik buat sementara waktu.
c. Langkah ini akan memberi impak negatif kepada pasaran saham dan bon tempatan, kerana peranan KWSP sebagai penyedia kecairan juga akan terjejas, selain mengekang keupayaan KWSP untuk menjana pulangan dividen.
Apabila kecairan berkurangan, ini berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur-pelabur lain yang akan turut serta menjual pegangan mereka, lantas mengurangkan lagi kecairan di pasaran.
Ini akan mengakibatkan peningkatan kos pinjaman bagi seluruh Keluarga Malaysia, tidak kira individu, syarikat, mahupun Kerajaan.
d. Systemic repercussions atau kesan-kesan sistemik ini bukan sahaja akan menjejaskan pulangan kesemua ahli KSWP, malah, para penyimpan lain yang bergantung kepada pulangan daripada pegangan saham dan bon tempatan seperti ahli Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), serta pelabur skim-skim Amanah Saham yang diurus oleh PNB seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), juga ahli-ahli Lembaga Tabung Haji (LTH), dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) juga akan turut terkesan.
Secara keseluruhan, ini akan memberikan impak negatif antaranya, dari segi peningkatan kos pembiayaan bagi Kerajaan, dan juga syarikat-syarikat swasta, dan juga berpotensi menyebabkan ketidakstabilan pasaran kewangan negara.
e. Tambahan lagi, situasi ini secara tidak langsung telahpun menimbulkan rasa tidak senang di kalangan ahli-ahli yang ingin terus mengekalkan simpanan mereka di dalam KWSP.
Buat masa ini, terdapat sejumlah lebih RM270 bilion simpanan di KWSP yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa oleh ahli yang berumur lebih 55 tahun dan tidak lagi tertakluk kepada syarat-syarat pengeluaran.
Seperti yang saya sebutkan berulang kali, dalam keadaan ekonomi yang semakin pulih, kerajaan tetap akan membantu rakyat melalui strategi yang pelbagai dan berbeza, seperti BPR, BKC, BKP, Bantuan Khairat Kematian, BWI, bantuan kebajikan bulanan dan banyak lagi.
Kerajaan sentiasa memantau keadaan, dan akan menambahbaik segala bentuk bantuan jika perlu.
Namun dalam hal KWSP ini, kita tidak boleh terus populis dengan sekali lagi mencari jalan mudah membenarkan pengeluaran tambahan lebih-lebih lagi bila kerajaan sudah menyediakan satu pakej bantuan banjir yang paling tinggi dalam sejarah.
Fikirkanlah kesan jangka panjang terutamanya kepada anak-anak dan cucu-cucu kita yang bakal mewarisi beban menampung kehidupan warga tua negara yang tidak mampu menampung persaraan mereka sendiri.
- Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Kewangan
Admin - Percayalah bahawa kerajaan akan mencari jalan dan kaedah terbaik dan menyeluruh untuk membantu mangsa banjir. Mungkin dengan menambahkan bantuan tunai dari jumlah yang telah diumumkan sebelum ini.
Fakta: Banjir Merah pada tahun 2014, kerajaan hanya memberi wang tunai kepada mangsa banjir ketika itu sebanyak RM500, tiada pinjaman bank tanpa faedah, tiada rebet letrik dan untuk peniaga kecil tiada pinjaman Tekun dengan moratarium.
Apa yang Kerajaan Pusat telah bantu seharusnya diceritakan oleh pemimpin masyarakat agar tidak mudah dikelirukan oleh pihak yang berkepentingan:
SENARAI BANTUAN BANJIR KERAJAAN PERSEKUTUAN 2021
PENGUMUMAN YAB PERDANA MENTERI 22 DISEMBER 2021:-
Beberapa agensi kerajaan dan sektor perbankan akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi meringankan beban rakyat dan perniagaan terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terkesan akibat bencana banjir. Ini termasuk:
1. Bantuan bayaran balik pinjaman untuk mangsa-mangsa banjir (pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit, serta pinjaman peribadi sehingga 6 bulan. Termasuk kemudahan penangguhan atau pengurangan bayaran balik ansuran.
2. Pembiayaan Kewangan Peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 oleh Bank Simpanan Nasional (BSN). RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan ini untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir membeli peralatan dan kelengkapan rumah yang musnah akibat bencana. Moratorium (rehat bayaran) 6 bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan dan terbuka kepada mangsa- mangsa banjir di seluruh negara.
3. TEKUN Nasional pula mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir Pembiayaan bagi PKS mikro yang terkesan. Bagi pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan.
4. Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta yang disediakan untuk PMKS yang terjejas melalui Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (Disaster Relief Facility, DRF 2022). BNM juga sedang berusaha untuk menambah peruntukan ke atas DRF 2022 yang diumumkan baru-baru ini, daripada RM200 juta kepada RM500 juta berdasarkan keperluan semasa.
BANTUAN KERAJAAN PERSEKUTUAN (YAB PM UMUM)
1. Peruntukan keseluruhan berjumlah RM200 juta
2. RM1,000 untuk setiap ketua isi rumah
3. RM10,000 Bantuan Wang Ihsan bagi kematian akibat banjir
4. RM50 juta disalurkan untuk isi rumah terjejas
5. Peruntukan awal RM100 juta baiki kerosakan rumah dan infrastruktur
6. RM83.4 juta sumbangan GLC/GLIC
7. RM35 juta bantuan bencana JKM
8. Tabung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dilancarkan
9. Tekun Nasional sedia RM30 juta untuk pinjaman pemulihan PMKS
10. RM500 juta untuk PMKS melalui Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF 2022).
11. Rebat 100 peratus one-off bil elektrik Disember 2021
12. Pemeriksaan pendawaian percuma di kediaman milik B40 terjejas banjir
13. RM5.4 juta bantu kerja pembersihan pasca banjir.
14. Pembiayaan kewangan peribadi tanpa faedah sehingga RM10,000.
15. Penangguhan/pengurangan ansuran pinjaman
16. Penggantian percuma kad debit, kad ATM atau buku cek
17. Pengecualian caj lewat untuk kad kredit pelanggan yang terjejas
18. Proses tuntutan insurans cepat dan mudah
19. Gantian dokumen JPJ percuma bagi mangsa banjir.
PASCA BANJIR ATM DAN MINDEF:-
1. Membantu dan membela warga ATM, MINDEF dan veteran yang terkesan akibat musibah banjir.
2. Inisiatif pasca banjir dalam aspek pemulihan dan pembersihan (OPS MURNI).
3. Memastikan hospital dan poliklinik ATM sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.
4. Memastikan sekolah-sekolah di bawah ATM dapat meneruskan sesi persekolahan secepat mungkin.
BANTUAN BANJIR DARI KEMENTERIAN KEWANGAN:-
1. Penyaluran RM50 juta kepada NADMA/Kumpulan Wang Amanag Bantuan Bencana Negara (KWABBN) bagi memastikan kelangsungan bantuan kepada isi rumah yang terjejas akibat banjir.
2. Kadar Bantuan Wang Ihsan dinaikkan dari RM500 kepada RM1,000 bagi setiap isi rumah yang terjejas.
3. Peruntukan awal RM100 juta bagi persediaan usaha pemulihan pasca banjir
BANTUAN BANJIR DARI KEMENTERIAN PERUMAHAN & KERAJAAN TEMPATAN
1. Menyediakan RM59 juta bagi kos pemulihan bencana banjir seluruh negara.
2. RM 50 juta diperuntukkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) abagi kos membaik pulih infrastruktur di 25 PBT yang terjejas banjir.
3. RM 2 juta disediakan kepada Program Perumah Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bagi keperluan asas dan bakul makanan,
4. RM 6 juta khusus kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi kerja pemulihan dan pembersihan.
5. RM 160,000 bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi pembelian tambahan bot fiber dan gergaji rantai
BANTUAN BANJIR DARI KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN:-
1. KWP Bersama agensi menghulurkan bantuan dan mengatur gerak kerja bagi operasi membantu, menyelamat, dan membersihkan Kawasan yang terjejas di luar Wilayah Persekutuan.
2. Kawasan yang terlibat antaranya, di Bentong, Mentakab, dan Termerloh, Pahang. Daerah dan negeri lain akan di atur dari masa ke semasa.
BANTUAN BANJIR DARI KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI:-
1. Mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir @ KPT bagi penyelarasan penyaluran bantuan kepada warga institusi pengajian tinggi yang terkesan akibat banjir.
BANTUAN BANJIR DARI KEMENTERIAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA:-
1. Menyalurkan bantuan segera kepada mangsa banjir berjumlah RM2.18 juta yang disumbangkan melalui agensi-agensi di bawah KKMM.
2. MyCreative Ventures, sebuah agensi di bawah KKMM telah menyumbangkan 2,000 unit Kotak Kasih berupa bakul makanan dengan Kerjasama Shopee Malaysia
3. Bantuan 2,000 pek makanan setiap hari dan 50 bilik penginapan sementara hasil Kerjasama Bersama Rumah Prihatin @ Grand Seasons
BANTUAN BANJIR DARI KERAJAAN NEGERI SELANGOR:-
1. Peruntukkan RM100 juta untuk pulihkan Selangor diumumkan oleh Menteri Besar Selangor. Peruntukan ini termasuk bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat banjir, bantuan RM1,000 setiap keluarga yang terkesan banjir, RM20 juta bagi bantuan pembersihan kawasan perumahan serta RM80 juta untuk pemulihan infrastruktur dan bantuan kesihatan.
2. Pelepasan bil air selama sebulan kepada akaun-akaun yang terkesan dengan bencana banjir.
3. Penangguhan bayaran balik pinjaman selama dua bulan kepada semua usahawan HIJRAH Selangor yang terkesan akibat banjir dengan implikasi kewangan berjumlah RM15 juta.
4. Penubuhan Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit oleh syarikat swasta, korporat, GLC & individu. Sumbangan sulung oleh MB Selangor dengan pemotongan sebulan gaji.
BANTUAN BANJIR DARI KERAJAAN NEGERI JOHOR:-
1. Menghantar bantuan kepada mangsa banjir melalui pasukan sukarelawan Southern Volunteers (SV)
2. Barangan keperluan seperti lampin pakai buang dewasa dan kanak-kanak, tuala Wanita, air mineral, biskut dan roti dengan nilai keseluruhan kira-kira RM50,000 dan dihantar kepada pegawai daerah Hulu Langat.
BANTUAN BANJIR DARI KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG:-
1. Menghantar anggota perubatan Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT) dan pasukan sukarelawan ‘Save City Volunteers’ untuk membantu mangsa banjir di Pahang dan Selangor.
2. Menghantar 75% daripada ahli Pasukan Bomba Sukarela (PBS) ke Kawasan banjir Selangor dan Pahang
BANTUAN BANJIR DARI KERAJAAN NEGERI PAHANG:-
1. Meluluskan Bantuan Khas Bencana Banjir sebanyak RM500 kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas banjir.
No comments